Monday, March 8, 2010

Akhirnya Embah Pergi dijemput Ilahi

Lama sungguh tak update blog ni. Selalu juga singgah, jenguk2 kalau ada rakan2 lain muncul di cbox. Bagi anda yang ada Facebook, apa kata cari julia di facebook.com/juliyanahussain. Banyak gambar baru dan status update dari semasa ke semasa.

Februari saya lewati dengan pelbagai kisah. Mulanya kami bercadang nak buat kenduri tahlil arwah bapak henap setahun tapi seawal pagi saya dikejutkan dengan satu lagi kehilangan besar. Selalunya saya biarkan telefon dalam nada normal, tpi malam tu Mirza asyik terjaga jadi saya Silent telefon dan letak bawah bantal. Awal pagi dah bangun tapi tak pula tengok telefon. Jam 7.30 pagi bila tengok telefon ada 12 missed call dan mesej daripada kakak. Hati mula berdebar..

"EMBAH DAH TAK ADA"

Mesej kakak jam 6.30 pagi menyentap jiwa. Terpana seketika.. Baru 2 hari lepas cakap dengan Embah, bagitau nak balik kampung minggu ni, nak hantar ubat untuk Embah. Cukup sebulan Embah sakit mengejut dan akhirnya dijemput Illahi.

Dari Putrajaya, kami terus bergegas balik ke Sawah Sempadan, Tg. Karang Baru. Ramadhan lepas Embah duduk situ. sempatlah merasa rumah baru. Kata kakak, jenazah Arwah Embah terus dimandikan awal pagi dan disembahyangkan dan meminta kami terus ke tanah perkuburan. Sedihnya hanya Allah sahaja yang tahu.. tak dapat menatap wajah Embah buat kali terakhir. Apapun, saya tetap redha dengan pemergian Embah.. Masih lagi terbayang..

Masa balik kampung Embah sakit, Embah dah tak boleh cakap sangat. Ayatnya tak teratur. Bibit bicaranya tak kejelasan. Muka Embah jauh berbeza. Bengkak. Sayu hati tengok Embah. Saya beli KFC untuk Embah sebab Embah memang suka makan KFC. Selalunya kalau saya balik kampung, mesti bawa Embah makan di Satay Hut, Tg Karang. Masa suapkan Embah bubur dan ayam KFC, Embah bukan main seronok lagi. Habis satu mangkuk Embah makan walau perlahan. Bahagian badan sebelah kiri ketika itu dah tak boleh digerakkan. Kata doktor mungkin stroke. Sebelumnya, Embah memang sihat. Manakan tidak, larat lagi ke kedai dengan basikal tuanya. Lama di rumah makcik waktu cuti sekolah yang panjang. Balik saja dari Rawang, sampai saja di rumah tiba-tiba Embah tak boleh bangun.. Mungkin dah itu takdirNYA.

Saya dan Embah memang cukup rapat. Saya antara cucu Embah yang paling lama duduk di kampung dengan Embah, dari belum bersekolah sampai saban cuti sekolah- itulah destinasinya. Embah panggil saya 'Li' singkatan untuk Julie, panggilan di kalangan adik beradik. Embah cukup hebat buat kuih dan pecal. Setiap kali cuti, saya akan naik bas ke Kuala Selangor untuk ke rumah Embah, tolong buat kuih dan berniaga pasar di Pasar Kem, Tg. Karang. Seawal malam dah bersiap untuk berniaga keesokan hari. Karipap dan Onde-Onde pulut hitam Embah paling saya suka. Tapi Embah pun hebat buat Apam. Selalu orang tempah untuk kenduri. Tapi tak sempat saya belajar dengan Embah.

Setiap hari selasa, Embah akan berniaga di Pasar Kem, jual pecal dan kuih. Teringat kata2 Embah. 'Nama je cucu jawa tapi tak pandai makan pecal. Jawa crett betul'. Saya seorang saja cucu Embah yang memang tak reti makan pecal. Meniaga pasar bukan banyak untungnya pun. Tapi Embah seronok. Pergi kami naik basikal sementara pakcik akan tarik dengan motor barang2 untuk berniaga. Kalau hujan lebat, kami kuyup bersama.. Jlan lecak, beberapa kali kami hampir terjatuh melewati jalan tanah merah. Namun saya cukup kagum dengan semangat Embah. Tak pernah dengar Embah merungut dengan semuanya. Tapi Embah cukup marah bila saya merungut..

Bila nak balik Klang, Embah akan sama-sama hantar saya balik naik bas. Waktu tu, Bus Stand Kuala Selangor memang meriah dengan gerai2 di tepi bas. Tapi Embah akan bawa banyak kuih yang Embah buat untuk kami adik-beradik. Satu plastik kuning besar. Apam, karipap, onde-onde, kasturi, pulut panggang dan banyak lagi.

Setiap kali raya, Embah pasti belikan kain untuk baju kurung untuk saya. Saya masih ingat lagi, Embah pernah cakap teringin nak pakai baju kurung kain Opel biru kosong. Sebelum bulan puasa lepas, saya gigih juga mencari kain tersebut untuk Embah. Akhirnya jumpa. Bukan main seronok lagi embah dapat kain tu..

1001 kenangan indah bersama nenda tersayang yang kupanggil Embah pastinya terus tersemat di hati. Moga roh Embah dan insan lain yang kukasihi - Allahyarham Hussain bin Haji Musran (11 Feb 2009), Allahyarham Haji Shakor Haji Kahar (11 Feb 2002) yang sama tarikhnya dengan pemergian Embah, Allahyarhamah Hajjah Seringaton Mohni 11 Feb 2010.. selain bondaku, Allahyarhamah Tuzainah Dasuki (22 Sept 1998) dan semua insan yang kami sayangi.. Moga roh mereka ditempatkan dikalangan hambaNYA yang dikasihi. Al-Fatihah....

Wednesday, February 10, 2010

Setahun Pemergian Bapak ke Rahmatullah

Harini rasa hati begitu syahdu mengendalikan segmen Kenangan Lalu KL. Suasana terasa jauh berbeda berbanding selalu. Tak lain, hanya satu sahaja sebabnya. Berbaur antara kegembiraan dan kedukaan. Esok, 11 Februari 2010 genaplah setahun pemergian Bapak yang kembali ke rahmatullah jam 12.30 tengah malam tahun lalu. Manakala lusa, 12 Februari genaplah usia anak mama, Nur Zahra Qistina binti Muhammad Shahzil 2 tahun.

Esok insyaallah kami akan buat kenduri tahlil untuk arwah mak, bapak, atuk, nenek dan saudara mara terdekat. Rasanya macam Bapak masih ada. Di rumah, sibuk seperti selalu. Selepas mak meninggal dunia pada tahun 1998, waktu tu usia saya 17 tahun dan adik paling kecil 7 tahun, Bapak sangat berubah. Dari garang dan sangat kami takuti, terus berubah sebaliknya dan mula rapat dengan kami adik beradik. Masa belajar di UiTM, tak banyak masa dihabiskan di rumah dek kerana terlalu sibuk dengan aktiviti kolej dan universiti sana sini.

Bila dah berumahtangga, saya selalu balik rumah di Klang jika ada kelapangan. Arwah Bapak dan suami boleh tahan rapat. Teman sembang Bapak. Itulah salah satu sebab kriteria suami yang menjadi pilihan hati. Apatah lagi bila Zara lahir. Sayang sungguh Bapak pada zara, cucu perempuan sorang ketika itu. Geram.. macam anak jepun katanya. Mana tidaknya, pipi zara bukan main tembamnya waktu tu. Tiapkali balik, Zara dulu yang dicari. Kalau Zara terjaga malam.. soalan Bapak sama.. Kenapa Zara menangis tu? Cuba tengok kalau2 berak ke kencing ke atau sakit perut. Bapak yang paling risau walaupun sebenarnya si kecik terjaga nak menyusu. Bangun pagi, Zara juga dicarinya dulu.

Ingat dulu.. masa kecik2 dan belum sekolah, bapak selalu bawa jalan2 pusing kampung naik Vespa hitam takpun Honda Cup. Habis seronoklah kalau dapat tengok lembu atau kambing dalam kandang. Itulah 'hiburan kampung' paling nikmat waktu tu. Nak ke funfair tak dapat, situ pun jadilah.

Bapak pergi tanpa sebarang petanda. Apapun, Allah lebih menyayangi Bapak, dan mengambil kembali Bapak dalam keadaan paling mudah. Bagi wanita yang paling saya sanjungi, Arwah Tuzainah Dasuki, emak yang telah masuk tahun ke12 meninggalkan kami, doa terus bersama agar dipermudahkan urusan di alam sana, dan ditempatkan di kalangan hambaNYA yang beriman dan dikasihi.. Alfatihah..

Tuesday, January 12, 2010

Embah









Cerita Awal Tahun



Lama bercuti bersalin, berdebar sangat-sangat nak masuk kerja. Banyak sebab debaran tu sebenarnya. Dapat warga kerja baru di KLfm. Selamat datang kak Leez. Kak Leez sebenarnya bukanlah orang baru di RTM. Dulunya dj di Klasik Nasional sebagai part time dan sekarang telah menjadi kakitangan tetap. Kalau nak kenal siapa dia, klik saja untuk ke blog Kak Leez ni. Dan lagi, Julia kembali memulakan tugas pada 4 Januari, sama dengan budak masuk sekolah. Perasaan seronok dan bersemangat memulakan tahun baharu di KLfm. Dan paling mendebarkan, baca Buletin Kota jam 6petang 4 Januari. Siapa kata mudah baca berita walaupun 5 minit? Sejak kecil, Julia idamkan dua kerjaya iaitu sebagai dj dan pembaca berita. Sekarang, dj dah jadi, walaupun bukan berita tv tapi berita radio pun dah memadai. Yelah.. rasa tak cukup cantik nak keluar tv baca berita. Hehe..

Setiap petang, Mimie dan Julia ditugaskan menyampaikan Buletin Kota jam 6.00 petang. Kalau anda belum pernah dengar, Buletin Kota melibatkan berita-berita sekitar KL dan Lembah Klang. Menyampaikan berita berbeza dengan dj. Ada yang bertanya kenapa tak rekod sahaja berita tu untuk on air. Jawapannya mudah. Di RTM, berita mementingkan actuality dan tidak wujud istilah berita rekod. Berita RTM sudah diiktiraf dan mendapat ISO. Apapun, penyampaian Buletin KL lebih santai. Seram sejuk baca lepas lama tak on air. Tapi alhamdulillah semuanya ok..






Dan lagi yang menarik, dapat tengok kawan-kawan yang bakal menjadi ibu tahun ni insyaAllah, Nazirah dan Nik Aida. Memang Mama vouge. Julia dan Mimie dah passing batton pada mereka. Haha.. Lepas ni tunggu giliran Aen pulak. Menarik sangat pasal mereka berdua, jarak kahwin sehari tapi tarikh dijangka bersalin SAMA!! :) Julia doakan agar kawan2 ini selamat melahirkan. Tak lupa juga, Tahniah untuk Dj Ezan dan suami yang selamat menerima cahayamata, puteri sulung Nur iRDina pada 2 Januari lepas. Rindu konti sama-sama dalam Ladies Nite dan 3to6 zaman2 anak dara dulu.. Comel sangat macam mama dia.




Monday, January 11, 2010

Ke Taman Itu Lagi



Masa terluang memang sangat menyeronokkan bila melayan karenah anak-anak yang sedang membesar. Dalamku memandikan anak, hatiku terdetik.. selembut inilah ibuku dulu memandikanku dengan penuh kasih sayang. Bimbang sekali kalau-kalau tangan yang licin kerana sabun boleh membuatkan sikecil terjatuh ke dalam besen. Walaupun si kecil tidak bisa lagi memahami, betapa si ibu gembira berdiri depan cermin sambil memeluk anaknya. Si kecil diajar melihat diri di cermin.

"Tengok mama, adik dah mandi".. mengajuk si kecil bercakap sedangkan dia entah berfikir apa. Betapa gembira hati ibu memandikan si kecil saban hari

"Saya mandi pagi-pagi, saya mandi hari-hari.. setiap hari" Itulah lagu yang mama nyanyikan bila memandikan adik setiap hari.



Itu kisah mandi Mirza. Kakak pula, suka betul kalau main di taman. Dalam demam pun terpaksalah bawa Zara ke taman. Bukan main seronok lagi dia dapat main. Hilang terus demam tu. Agak2nya, macam tulah mama masa kecil dulu bila dapat bermain. Bezanya, waktu kecil mama tak dapat nak main semua ni. Permainan mama, baling selipar, main bawah pokok ubi, pokok kopi.. itu jelah mainan mama..

Bila kena agah dengan abahnya, menjerit Zara tak nak dikacau. Bila diajak balik, apa lagi meraunglah dia. Puaslah pujuk, lain kali boleh main lagi.. Hailah anakku.. macam-macam.. Tapi itulah kegembiraan Mama dan Abah.


Cak!!!


Adik takde feeling nak mainlah Mama..





THROWBACK GAMBAR-GAMBAR MASA MENGANDUNGKAN MIA

  Harini nak share gambar-gambar masa mengandungkan Mia. Ya, besarnya perut tu macam ada bantal. Mengandungkan Mia mudah saja, sama ma...