Showing posts with label Bapak. Show all posts
Showing posts with label Bapak. Show all posts

Monday, July 18, 2016

Al-Fatihah.. Ayahanda dan Bonda



Ke Makam Bonda ~ Usman Awang

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda
Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi
Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap
Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi
Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan
Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan
Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan
~Usman Awang



 
Puisi ni terngiang-ngiang puisi karya Dato' Usman Awang ni sepanjang ramadan. Pagi raya kami ke pusara Bapak bersama anak-anak. 7 tahun bapak tiada dan hampir 18 tahun emak pergi meninggalkan kami enam beradik. Tidak ketinggalan, kubur arwah embah hj musran (kubur batu putih).

Cuma tahun ni tak sempat kami ke pusara mak sebab dah terlalu lewat nak singgah lepas ke rumah paman mamat. sepatutnya singgah dulu pun takpe. Insyaallah mak.. nanti adik datang ya. Semoga roh Mak dan Bapak dicucuri rahmat Allah.

Wednesday, June 24, 2015

17 TAHUN SELEPAS MAK TIADA

 Diam tak diam, 22 September 2015 ni genap 17 tahun mak meninggalkan kami. Ini bermakna, hampir 17 tahun juga kami tak berpuasa dan berhari raya bersama mak. Kalau dulu, emaklah yang paling sibuk tiap kali Ramadan. Cuba menunaikan apa saja permintaan anak-anak yang berpuasa semampunya. Sedekah juadah berbuka dengan jiran-jiran tetangga. Sekarang bukan takde, cuma biasanya tunggu tradisi monjong.

17 tahun selepas mak tak ada..
Abang dah ada bisnes sendiri.. Ono Bundle yang sangat membanggakan dengan 5 cawangannya. Dah kahwin dengan Rohani Shamsudin dan ada empat orang anak, Alif Farhan, Asyraf Fitri, Alya Farhana dan Adam Fahmi.

Kakak dah dok sama di rumah bapak. Hidup sendiri dengan anak tapi tiap kali balik Klang sangat hepi sebab mak ngah suka layan anak-anak buahnya.

Julie dah 8 tahun kahwin dengan Shah dan ada 4 orang anak. Zahra Qistina, Eddryshah Mirza, Emirshah Rezza dan Eiskandarshah Mukhriz.

Eddy dah kahwin dengan Cintawatie Azali dan ada 2 orang anak perempuan, Jumeirah dan Fieya. 

Fahey tak lama lagi nak kahwin dengan Yan. Semoga dipermudahkan. Dia pun dah kongsi bela lembu dengan kawan. Lembu makan tembikai dan betik tu ;)

Adik Diana pun dah 3 tahun kahwin dengan Eddy. Cuma masih belum ada rezeki lagi nak ada anak. Moga ada rezeki untuk mereka nanti.

Al-fatihah buat bonda dan ayahnanda kesayanganku. Anakmu ini sentiasa mendoakan agar dipermudahkan urusan dan roh mak dicucuri rahmat Allah. Julie sayang mak sangat! ;(

Walaupun mak dah takde, Julie selalu bercerita dengan anak-anak tentang kebaikan mak, rajinnya mak dan hebatnya mak sebagai seorang ibu kepada enam orang anak yang nakal ni. Sekarang Julie dah jadi ibu, Julie rasa tak banyak sikit apa yang emak rasa. Penatnya seorang emak di rumah menguruskan keluarga.

Allah lebih sayangkan emak.. tapi Julie bahagia kerana menjadi orang terakhir yang sentiasa di sisi emak 24 jam di Hospital Kuala Lumpur. Kenangan bersama emak akan terus abadi.

#doaibusepanjangjalan



Wednesday, February 10, 2010

Setahun Pemergian Bapak ke Rahmatullah

Harini rasa hati begitu syahdu mengendalikan segmen Kenangan Lalu KL. Suasana terasa jauh berbeda berbanding selalu. Tak lain, hanya satu sahaja sebabnya. Berbaur antara kegembiraan dan kedukaan. Esok, 11 Februari 2010 genaplah setahun pemergian Bapak yang kembali ke rahmatullah jam 12.30 tengah malam tahun lalu. Manakala lusa, 12 Februari genaplah usia anak mama, Nur Zahra Qistina binti Muhammad Shahzil 2 tahun.

Esok insyaallah kami akan buat kenduri tahlil untuk arwah mak, bapak, atuk, nenek dan saudara mara terdekat. Rasanya macam Bapak masih ada. Di rumah, sibuk seperti selalu. Selepas mak meninggal dunia pada tahun 1998, waktu tu usia saya 17 tahun dan adik paling kecil 7 tahun, Bapak sangat berubah. Dari garang dan sangat kami takuti, terus berubah sebaliknya dan mula rapat dengan kami adik beradik. Masa belajar di UiTM, tak banyak masa dihabiskan di rumah dek kerana terlalu sibuk dengan aktiviti kolej dan universiti sana sini.

Bila dah berumahtangga, saya selalu balik rumah di Klang jika ada kelapangan. Arwah Bapak dan suami boleh tahan rapat. Teman sembang Bapak. Itulah salah satu sebab kriteria suami yang menjadi pilihan hati. Apatah lagi bila Zara lahir. Sayang sungguh Bapak pada zara, cucu perempuan sorang ketika itu. Geram.. macam anak jepun katanya. Mana tidaknya, pipi zara bukan main tembamnya waktu tu. Tiapkali balik, Zara dulu yang dicari. Kalau Zara terjaga malam.. soalan Bapak sama.. Kenapa Zara menangis tu? Cuba tengok kalau2 berak ke kencing ke atau sakit perut. Bapak yang paling risau walaupun sebenarnya si kecik terjaga nak menyusu. Bangun pagi, Zara juga dicarinya dulu.

Ingat dulu.. masa kecik2 dan belum sekolah, bapak selalu bawa jalan2 pusing kampung naik Vespa hitam takpun Honda Cup. Habis seronoklah kalau dapat tengok lembu atau kambing dalam kandang. Itulah 'hiburan kampung' paling nikmat waktu tu. Nak ke funfair tak dapat, situ pun jadilah.

Bapak pergi tanpa sebarang petanda. Apapun, Allah lebih menyayangi Bapak, dan mengambil kembali Bapak dalam keadaan paling mudah. Bagi wanita yang paling saya sanjungi, Arwah Tuzainah Dasuki, emak yang telah masuk tahun ke12 meninggalkan kami, doa terus bersama agar dipermudahkan urusan di alam sana, dan ditempatkan di kalangan hambaNYA yang beriman dan dikasihi.. Alfatihah..

Wednesday, March 18, 2009

PERGINYA BAPAK UNTUK SELAMANYA .. EP 2




11 fEBRUARI 2009
12.15 barulah si kecik tidur... Mama dia jangan cakaplah mengatuknya. Almaklumlahsebulan tak sekali drive.. penatnya macamlah jadi lady driver hari2.. Kakak dah awal-awal tidur. Baru je 10 minit lelap mata, tiba-tiba bunyi telefon. Kalau hari-hari lain, dah tido memang idoklah dengarnya bunyi telefon. Saban malam pasti saya on bacaan Yaasin dari handphone semenjak Zara baby lagi. Alhamdulillah tenang tidur si kecik. Tapi malam tu terjaga dek deringan bunyi telefon. Dalam jaga dengan tidak, kuangkat telefon..
"Hello.. sapa ni?
"Akula.. edi.." Suara adik bagaikan ada sesuatu yang tak kena..
"Pasal apa telefon malam-malam ni? Ada apa yang tak kena ke?"
"Bapak masuk hospital!! Bapak pengsan tadi!"
"Ko biar betul.. jangan main-main" Bagaikan tak percaya..
"Apa pulak main-main. Takpelah, dah sampai hospital nanti aku telefon lagi.."

Saya terus terduduk.. Kenapa dengan bapak ni. Tak pernah-pernah pengsan sebelum ni.. Dah mula tak sedap hati. Tengok zara.. "Lenanya tidur anakku.." Saya terus kejutkan kakak yang dah ke luar negara mimpinya dan beritahu perihal bapak yang tiba-tiba dimasukkan ke hospital.. Kakak lagilah terkejut bukan kepalang. Katanya, baru petang tadi bapak telefon macam biasa. Bukan main lagi seronoknya bila dapat bercakap dengan Zara walau entah apa bicaranya.. Cumanya bapak tak call kakak malam tadi seperti kebiasaannya selepas ambik adik balik dari kerja.. Kakak terus dail nombor telefon bapak. Tak berangkat dan terus dimatikan. Dail balik..

"Hello.. Assalamualaikum pak (singkatan untuk Bapak)"
"Waalaikum salam.. siti yea.. Ni abang zul.."
"Abang zul, bapak macam mana?"
"Bapak dah tak ada.. siti"
"Abang zul biar betul.. jangan main-main. Edi baru telefon kata abang zul bagitau bapak masuk hospital"
"Ye.. diorang pun tak sampai lagi. Doktor baru sahkan bapak nya meninggal kejap tadi"
BAPAK!!!! Kakak menjerit.

Saya terkejut dan dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena.. Kenapa kak? Bapak dah tak ada.. Kakak dah menangis-nangis .. tapi saya masih terpaku! Terlalu terkejut dengan berita yang baru diterima.

"Ya Allah!!! Bapak dah tak ada!! Innalillahi Wainailaihi Raji'un.. Allahu Akbar.. Astaghfirullahalazim.." Hanya istighfar dapat ku ungkapkan betapa berita ini terlalu sukar diterima.. Hati bagaikan tidak mahu sekali menerima khabar yang menyedihkan namun Allah telah menentukan segalanya.. Orang pertama yang harus dihubungi.. Abang..

"Abang....... " Hanya itu yang mampu kututurkan diiringi tangisan kuat..
"Sayang.. kenapa ni? Cakaplah kenapa?" Berkali-kali abang bertanya namun belum cukup kuat untuk ku nyatakan kebenarannya.. Abang dah risau.. bimbang sesuatu terjadi di rumah sepanjang peninggalan abang outstation ke Perak yang baru masuk hari kedua..
"Bapak bang.. Bapak.."
"Bapak.. kenapa dengan Bapak? Sayang ok tak ni? kenapa?"
"Bapak dah tak ada bang.. Bapak dah tak ada"..
"Betul ke sayang? Innalillahiwainailaihi raji'un.. Sayang, sabar sayang.. Nanti abang usahakan macam mana nak balik yea.."

Kalaulah abang ada disisi.. Kami hubungi saudara mara terdekat mengenai bapak dan terus berkemas balik klang.. Waktu tu jam 1.30 pagi. Kami tekad untuk terus ke hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami untuk sampai ke destinasi.. Zara yang tengah lena tidur kuangkat dengan bekalan baju dan keperluan lain seadanya. Mana yang sempat.
Sampai di hospital, abang dan adik menanti kami di depan hospital. Zara pulak buat 'bisnes dalaman'. Nampak mata abang dah bengkak kerana menangis.. Kami terus ke wad icu dan tinggalkan zara bersama adik.

Ya Allah.. berilah kami kekuatan untuk menghadapi saat paling sukar ini.. Hanya sekujur tubuh Bapak berbungkus plastik putih di atas katil.. Ku peluk bapak yang hanya tinggal jasad kaku dan tidak bernyawa.. Ya Allah.. benarkah apa yang kulihat? (Terlalu sukar untukku meneruskan bait-bait seterusnya... Hanya tangisan mengiringi entry ini.. Al Fatihah..)

Tangisan zara di luar mengejutkan ku dari kesedihan yang cuba kutahan sebaknya.. Zara bagaikan memahami kepergian Atuk yang paling menyayanginya buat selamanya.. Beginilah kasihnya mak dan bapak ketika kami masih kecil, sama sepeti sebagaimana kami sangat menyayangi zara..

"Allahummaghfirli waliwalidaiya warhamhuma kama rabbayani soghirah..
Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku, ampunilah dosa kedua ibu-bapaku. Sayangilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kecil"
Semua adik-beradik sudah berada di hospital.. Hanya dakapan menguatkan semangat kami.. Sekelip mata, kami anak yatim piatu.. Kata adik, bapak sangat gembira malam tadi. Balik awal dari kedai dan sempat bermain dengan cucu-cucu (anak abang).. Gembira bukan main nak keluar makan bersama bekas rakan-rakan sekerja di MISC. Katanya lagi, bapak nak jugak pakai bagi Camel dan minta adik carikan untuk dipakai..
Kami sempat bertemu Abang Zul, kawan baik bapak. Katanya, bapak happy macam selalu. Cuma bezanya, bapak ni memang tak makan ikan. Tapi malam tu, bapak jamah ikan stim yang menjadi hidangan yang menjadi keluarbiasaan pada rakan-rakan yang sedia maklum bapak memang tak makan ikan. Tambahnya, bapak pengsan selepas buka pintu kereta, sebelum sempat duduk. Mereka cuba untuk menghantar bapak ke klinik berdekatan tapi tiada satu pun yang buka dan mereka terus bergegas ke HBTAR. Tak pasti sama ada waktu tu bapak dah tak ada ataupun sampai di hospital.. Kami tak ingin bapak di'post mortem'.. Doktor mengesahkan bapak meninggal dunia jam 12.30 tengah malam kerana sesak nafas.

Saya dan balik balik ke rumah untuk menyiapkan segala keperluan. Kata doktor, jenazah sudah boleh dibawa pulang selepas laporan kematian di balai polis. Sampai di rumah, makcik, kakak ipar dan sepupu mula mengemas dan membentang tikar, selain tilam..

Hanya istighfar, ayat kursi, al-fatihah dan tiga qul menjadi peneman untukku menguatkan hati. Zara masih lagi segar dan belum ada tanda-tanda untuk tidur. Bagaikan faham kepiluan yang sedang menyelubungi seisi rumah peninggalan arwah bapak.. Abang menanti keluarga yang dalam perjalanan dari Sungai Petani. Kata-kata mama dan abang memberikan kekuatan untuk redha menerima qada' dan qadar ketentuanNYA.

Jam 5.00 pagi baru zara terlelap. Mata masih terpicing tak mahu sekali terlelap walau sekejap meskipun mengantuk. Sambil menantikan subuh, ku bacakan Yasin untuk arwah bapak dan mak.. untuk menenangkan hatiku yang kian rawan.. Subhanallah..

Surau di situ turut menghebahkan berita kembalinya bapak kerahmatullah.. Telefon tetap memainkan bacaan Yaasin sampai habis bateri.. Abang wan( abang sulung ) baru saja menelefon memberitahu bahawa jenazah bapak hanya boleh dibawa balik selepas menerima laporan perubatan dari Klinik Zul, tempat arwah bapak selalu mendapatkan rawatan. Nampaknya kepas pukul 9.00 pagilah..

Kami bersetuju untuk membenarkan pihak hospital menyiapkan jenazah bapak (memandi dan mengkafankan).. Abang dan keluarga mertua sampai kira-kira jam 8.30 pagi.. Abang dan Abang Wan terus bergegas ke hospital untuk membantu menguruskan apa yang perlu. Kakak dan adik masih di sana..


Orang kampung, saudara dan kenalan arwah bapak dah mula datang ke rumah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah. Masing-masing terkejut dengan berita tersebut. Arwah bapak nampak sihat dan tidak sakit. Ternampak-nampak arwah bapak yang saban pagi membersihkan daun pisang tua, menebang pokok pisang dan sebagainya..

Sahabat-sahabat KLfm ramai yang datang. Ada juga yang menghantar kiriman sms mengucapkan takziah dan memberikan semangat, juga rakan-rakan lain. Tidak ketinggalan, rakan-rakan setugas.. Puan Fee, Boss KLfm, Nazirah, Nik Aida, Hezry, Kzie, Haji Manan Selamat dan Dave..

Jenazah bapak tiba di rumah kira-kira jam 11.15 pagi dengan van jenazah. Wak Aji (abang sulung kepada bapak) memaklumkan bahawa jenazah tidak singgah lama dan akan disembahyangkan terus di surau Haji Musran. Keranda yang berisi jenazah bapak diturunkan di bawah kemah di bahagian luar. Tali kafan dibuka untuk memberikan peluang terakhir kami melihat arwah bapak. Ya Allah.. berilah kami kekuatan..

Seorang demi seorang kami adik beradik dipanggil untuk mencium dahi bapak buat kali terakhir.. Wajah tenang bapak sempat kutenung.. Kucium dahi bapak buat kali terakhir.. Sejuk dan teramat dingin.. Pergilah bapak dengan tenang, kami redha dengan ketentuan Allah.. Sesungguhnya ku bersyukur kerana diberikan nikmat ini untuk mencium dahi bapak, perkara yang sama tidak dapat kulakukan pada arwah mak kerana berada dalam keadaan yang tidak sama sekali mengizinkan 10 tahun lalu (faham-fahamlah kan..) Usai semua, jenazah terus diikat rapi untuk dibawa ke surau dan disembahyangkan..


Zara tenang dengan mama dan keluarga mertua.. Terima kasih mama.. Kami terus menanti jenazah di kubur. Kerja-kerja menggali kubur sudah siap.. Tak lama, van jenazah pun sampai.. Bagaikan cepat detik berlalu sampai ke detik-detik terakhir bapak bersama kami.. Semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Alhamdulillah.. Talkin dibacakan, bertambah sayu kurasakan.. Hakikatnya, terpisahlah kami dengan bapak melainkan tiga perkara termasuklah doa kami untuk kesejahterazaan kedua ibu bapa kami di alam barzakh..



Dalam berkira-kira untuk menyambut ulangtahun kelahiran zara yang pertama esok (12 Februari), semuanya lebur dan tidak bermakna.. Kebenaran, qada' dan qadar Allah harus diterima dengan redha..

Dalam longlai kerana tidak lagi sempat melelapkan mata, bapak tidak akan kembali lagi.. Hanya kenangan bapak dan mak kekal bersama..

  • Tiapkali bangun pagi.. "Zara dah bangun ke?" Cucunya dulu yang dicari

  • Tiapkali zara terjaga tengah malam.. "Zara menangis? Tengokkan dia kencing ke berak ke" bukan main risau lagi

  • Tiapkali sebelum tidur.. "Esok kerja pagi ke lewat? Nanti bapak kejutkan" Bapak lebih risau kalau kami terlambat masuk kerja

  • "Letak ubat nyamuk elok-elok takut terbakar" Almaklumlah rumah kampung

  • Tiapkali sebelum balik KL .."Tengok kot2 ada apa2 yang tinggal. Ic dah bawak? Dompet? " Bapak yang lebih prihatin

  • Tiapkali baru sampai rumah "Dah makan belum?" Itulah pertanyaan pertama bapak..


Hanya tinggal kenangan..

  • Ketika Bapak hantar untuk hari pertama sesi persekolahan darjah 1 di Sekolah Rendah Rantau Panjang. Bapak belikan kuih kasturi untuk makan waktu rehat

  • Tiapkali balik sekolah bapak akan tanya tadi makan apa, minum apa.. (Kenapa aku sangat sedih dan menangis untuk menyiapkan ayat ini..)

  • Bapak akan bawa kami jalan2 naik motor saban petang ketika kecil

  • Sesekali ke pasar malam, kami sangat seronok.. Bapak tak pernah tinggal beli putu bambu, jagung rebus dan apam balik

  • Bapak akan sewa kereta setiap kali raya untuk hantar kami sekeluarga balik kampung waktu kecik2 dulu..

  • Bapak pernah hilang mood dan selalu marah-marah ketika mendapat berita bahawa aku berjaya melanjutkan pelajaran ke UiTM. Sehari sebelum pergi barulah bapak beritahu kebenarannya bahawa bapak sangat sedih berpisah dengan aku yang tak pernah berjauhan dan bapak tak benarkan aku duduk asrama dan terima tawaran untuk belajar di Sekolah Menengah Agama Tinggi Hishamuddin Klang, satu ketika dulu walaupun hanya beberapa orang sahaja di sekolahku yang mendapat tawaran itu..

  • Bapak sangat bangga aku menjadi Komander Kesatria Negara, UiTM. Pesan bapak, simpanlah baju no. 3 dan no. 4 ni sebagai kenangan walaupun dah tak guna..

  • Kata embah (nenek), Bapak menangis ketika melihat aku menerima segulung ijazah di UiTM. Satu-satunya anak setakat ini yang melanjutkan pelajaran ke universiti.. Alhamdulillah..
  • Bapak sangat gembira menerima Abang sebagai menantu yang selalu diajaknya bersembang..
Tak mampu lagi kuhabiskan entry ini. Cukuplah tangisanku yang terlalu rindukan arwah bapak dalam megakhiri catatan ini. Allah lebih menyayangi kedua orang tuaku. Yang tinggal hanya kami adik-beradik.
"Semoga Allah terus menyatukan hati kami adik-beradik dalam mengharungi perjalanan hidup sebagai yatim piatu.. Moga doa kami untuk arwah mak dan bapak diterima Allah.. Moga dipermudahkan segala urusan, dijauhkan dari seksa kubur, moga diterangi dengan nurMU, moga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan dikasihi.. Amin.. Al-Fatihah.."

Sunday, March 15, 2009

PERGINYA BAPAK UNTUK SELAMANYA .. EP1

Lama sungguh rasanya tidak berkongsi sebarang cerita terbaharu dalam blog ni. Bukan kerana tiada sebarang cerita. Ramai juga bertanya kenapa tak update entry terbaru. Mohon maaf banyak2 kerana blog ini mungkin agak bersawang ceritanya. Yang berubah hanya rupa dan warna. Lama juga sebenarnya nak memujuk hati kembali mencoretkan isi hati selepas pemergian mengejut ayahanda tersayang ke rahmatullah, 11 Februari lalu..
Dunia ini hanya pinjaman, segalanya milik Yang Maha Kuasa. Kun Fayakun... Tidak sesaat pun terlewat andai itu kehendaknya. Rasanya baru semalam ayah yang kami panggil Bapak. 10 tahun selepas pemergian mak kerana kanser, Bapak banyak berubah. Dari seorang yang garang menjadi seorang Bapa yang amat prihatin dengan apa yang berlaku terhadap anak-anaknya. dari kecil lagi Bapak memang sangat mementingkan disiplin. Almaklumlah, Bapak pernah menjadi askar wataniah dulu.. Ketegasan Bapak kadang-kadang membuatkan kami takut. Budak-budaklah katakan.
Masih ingat lagi, tiap kali sebelum tidur mesti bagi salam pada mak dan bapak.. "Tidur dulu mak, tidur dulu pak".. Kalau nak pergi sekolah selepas cium tangan mak ngan bapak, atas basikal mesti jerit.. "Pergi dulu mak, pergi dulu pak, assalamualaikum mak, assalamualaikum pak.." Itulah dialog wajib setiap hari. Tapi paling seronok tiap kali hujung bulan, waktu bapak gaji. Kami bukanlah hidup mewah, namun kami gembira dengan apa yang ada. Tiap kali 25hb, bapak akan keluar awal untuk ambil gaji di bank dan akan balik bagi mak duit. Waktu tu jugalah kalau nak minta apa-apa duit untuk beli buku dan urusan yang penting sahaja. Saya diajar untuk tidak meminta-minta benda yang kurang penting. Bagi saya, saya tidak mahu menyusahkan mak atau bapak sekadar untuk pergi rombongan sekolah, dan keperluan lain yang sedia ada. Kalau ada rezeki lebih, insyaallah ada.. Kalau mak atau bapak kata tak ada duit, saya tak pernah paksa untuk mereka sediakan duit. Teringat lagi kami adik beradik tolong mak buat penyapu utnuk dijual, ambil upah kopek pisang untuk dibuat kerepek, jual buah nangka dan hantar kuih ke kedai. Mak seorang yang sangat rajin membantu bapak menambah pendapatan. Dengan kerja bapak sebagai pemandu lori, kami akur dan bersyukur dengan apa yang ada untuk kami adik-beradik.
Selepas ketiadaan mak, bapak mengambil alih tugas-tugas dirumah seperti membasuh, memasak air, nasi dan lauk dan menyidai baju. Seawal jam 5.00 pagi lagi bapak dah bangun untuk menyiapkan semua itu sebelum pergi kerja. Kami selalu pesan bapak, tak payahlah buat semua tu tapi bapak kata, takpelah.. apa salahnya.
Selepas VSS apabila MISC diambil alih Pertonas, bapak tak pernah duduk diam. Nasiblah abang buka kedai bundlenya, bapak rajinlah ke sana dan berjumpa kawan-kawan lama selain bantu abang. Kiranya, bisnes abang diuruskan sekeluarga, dua orang adik pun ada di sana. Sayangnya, bapak tak dapat berkongsi kegembiraan bila kedai abang keluar dalam rancangan Remaja, 4 hari selepas bapak meninggal dunia. Dan lagi, perniagaan abang di OnoBundle semakin maju dengan pembukaan terbaharu tingkat atas untuk kanak-kanak dan wanita selain pakaian dan anak patung.
Kelahiran Zara memang dinantikan bapak sebagai cucu perempuan sulungdalam keluarga. Bapak selalu kata zara macam anak jepun.. Geram tengok pipi dan mata zara yang membulat.. Kali terakhir jumpa bapak seminggu sebelum tu ketika berkunjung ke rumah abang sepupu yang meninggal dunia selepas seminggu koma akibat kemalangan, rupanya bapak ada tanya pada suami, kenapa tak bawa zara.. rindu. Kami memang dah awal2 hantar zara ke rumah babysitter takut zara menjerit kat rumah tu nanti. Tak sangka pula..
Masih terngiang-ngiang kegembiraan bapak ketika sambutan ulangtahun kelahiran Disember lalu.
Kata bapak.."Wah.. Bapak dah 55 ye tahun ni"
Saya.. "Eh, takdelah Pak, kan baru 54 tahun ni.. tahun depan baru 55.. muda lagi pak"
Bukan main gembira bapak menerima kemeja sutera yang saya hadiahkan, lebih gembira dapat sambut bersama anak-anak..
Isnin, 9 Februari
Hari tu cuti umum, dah seminggu penat bekerja. Cadang nak balik ke Klang tapi Abang pulak ada rakaman hari sebelumnya dan siaran malam ni. Esok, abang akan bertolak ke Perak, siaran Dialog bersama MB Perak yang baru. Bila difikir, terpaksalah import kakak dari klang untuk stay di Putrajaya beberapa hari sementara Abang outstation. Bukan apa, nak drive dari KL ke Klang memang agak seksa untuk menempuh kesesakan tiap-tiap hari di Federal Highway tu bagi pemandu yang jarang memandu seperti saya. Berbanding kalau nak ulang-alik ke Putrajaya thru MEX yang sure tak sesak..
Petang tu Bapak telefon kakak. Setiap hari dari dulu bapak memang akan telefon bertanyakan kakak, dan sempatlah juga sembang dengan bapak petang tu. Bapak pesan, "Jaga diri baik-baik, jangan lupa kunci pintu, Shah tak ada.." tu kata-kata akhir bapak..
Selasa, 10 Februari
Kerja macam biasa harini, lepas konti sempat juga siapkan kerja di pejabat dan buat vo untuk Apa Kata Wanita.. lepas tu KL hujan lebat, terus drive balik ke Putrajaya. Sampai je pertengahan highway panas terang benderang.. Sampai di rumah, kakak ajak balik Klang.. Saya pun cakap, tak payahlah.. penat ni balik kerja. Kakak bagitahu, bapak baru lepas telefon, sempat cakap dengan zara.. bukan main seronok lagi..
Biasanya tiap-tiap malam bapak akan telefon kakak, selepas ambil adik balik kerja atau balik dari kedai, tapi malam tu bapak tak telefon.. Zara pulak meragam taknak tidur. Puas semuanya dikemas, nak kata banyak tidur, tak juga..

** NANTIKAN SAMBUNGAN DALAM ENTRY SETERUSNYA DALAM EP.2

THROWBACK GAMBAR-GAMBAR MASA MENGANDUNGKAN MIA

  Harini nak share gambar-gambar masa mengandungkan Mia. Ya, besarnya perut tu macam ada bantal. Mengandungkan Mia mudah saja, sama ma...