Wednesday, March 18, 2009

PERGINYA BAPAK UNTUK SELAMANYA .. EP 2




11 fEBRUARI 2009
12.15 barulah si kecik tidur... Mama dia jangan cakaplah mengatuknya. Almaklumlahsebulan tak sekali drive.. penatnya macamlah jadi lady driver hari2.. Kakak dah awal-awal tidur. Baru je 10 minit lelap mata, tiba-tiba bunyi telefon. Kalau hari-hari lain, dah tido memang idoklah dengarnya bunyi telefon. Saban malam pasti saya on bacaan Yaasin dari handphone semenjak Zara baby lagi. Alhamdulillah tenang tidur si kecik. Tapi malam tu terjaga dek deringan bunyi telefon. Dalam jaga dengan tidak, kuangkat telefon..
"Hello.. sapa ni?
"Akula.. edi.." Suara adik bagaikan ada sesuatu yang tak kena..
"Pasal apa telefon malam-malam ni? Ada apa yang tak kena ke?"
"Bapak masuk hospital!! Bapak pengsan tadi!"
"Ko biar betul.. jangan main-main" Bagaikan tak percaya..
"Apa pulak main-main. Takpelah, dah sampai hospital nanti aku telefon lagi.."

Saya terus terduduk.. Kenapa dengan bapak ni. Tak pernah-pernah pengsan sebelum ni.. Dah mula tak sedap hati. Tengok zara.. "Lenanya tidur anakku.." Saya terus kejutkan kakak yang dah ke luar negara mimpinya dan beritahu perihal bapak yang tiba-tiba dimasukkan ke hospital.. Kakak lagilah terkejut bukan kepalang. Katanya, baru petang tadi bapak telefon macam biasa. Bukan main lagi seronoknya bila dapat bercakap dengan Zara walau entah apa bicaranya.. Cumanya bapak tak call kakak malam tadi seperti kebiasaannya selepas ambik adik balik dari kerja.. Kakak terus dail nombor telefon bapak. Tak berangkat dan terus dimatikan. Dail balik..

"Hello.. Assalamualaikum pak (singkatan untuk Bapak)"
"Waalaikum salam.. siti yea.. Ni abang zul.."
"Abang zul, bapak macam mana?"
"Bapak dah tak ada.. siti"
"Abang zul biar betul.. jangan main-main. Edi baru telefon kata abang zul bagitau bapak masuk hospital"
"Ye.. diorang pun tak sampai lagi. Doktor baru sahkan bapak nya meninggal kejap tadi"
BAPAK!!!! Kakak menjerit.

Saya terkejut dan dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena.. Kenapa kak? Bapak dah tak ada.. Kakak dah menangis-nangis .. tapi saya masih terpaku! Terlalu terkejut dengan berita yang baru diterima.

"Ya Allah!!! Bapak dah tak ada!! Innalillahi Wainailaihi Raji'un.. Allahu Akbar.. Astaghfirullahalazim.." Hanya istighfar dapat ku ungkapkan betapa berita ini terlalu sukar diterima.. Hati bagaikan tidak mahu sekali menerima khabar yang menyedihkan namun Allah telah menentukan segalanya.. Orang pertama yang harus dihubungi.. Abang..

"Abang....... " Hanya itu yang mampu kututurkan diiringi tangisan kuat..
"Sayang.. kenapa ni? Cakaplah kenapa?" Berkali-kali abang bertanya namun belum cukup kuat untuk ku nyatakan kebenarannya.. Abang dah risau.. bimbang sesuatu terjadi di rumah sepanjang peninggalan abang outstation ke Perak yang baru masuk hari kedua..
"Bapak bang.. Bapak.."
"Bapak.. kenapa dengan Bapak? Sayang ok tak ni? kenapa?"
"Bapak dah tak ada bang.. Bapak dah tak ada"..
"Betul ke sayang? Innalillahiwainailaihi raji'un.. Sayang, sabar sayang.. Nanti abang usahakan macam mana nak balik yea.."

Kalaulah abang ada disisi.. Kami hubungi saudara mara terdekat mengenai bapak dan terus berkemas balik klang.. Waktu tu jam 1.30 pagi. Kami tekad untuk terus ke hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami untuk sampai ke destinasi.. Zara yang tengah lena tidur kuangkat dengan bekalan baju dan keperluan lain seadanya. Mana yang sempat.
Sampai di hospital, abang dan adik menanti kami di depan hospital. Zara pulak buat 'bisnes dalaman'. Nampak mata abang dah bengkak kerana menangis.. Kami terus ke wad icu dan tinggalkan zara bersama adik.

Ya Allah.. berilah kami kekuatan untuk menghadapi saat paling sukar ini.. Hanya sekujur tubuh Bapak berbungkus plastik putih di atas katil.. Ku peluk bapak yang hanya tinggal jasad kaku dan tidak bernyawa.. Ya Allah.. benarkah apa yang kulihat? (Terlalu sukar untukku meneruskan bait-bait seterusnya... Hanya tangisan mengiringi entry ini.. Al Fatihah..)

Tangisan zara di luar mengejutkan ku dari kesedihan yang cuba kutahan sebaknya.. Zara bagaikan memahami kepergian Atuk yang paling menyayanginya buat selamanya.. Beginilah kasihnya mak dan bapak ketika kami masih kecil, sama sepeti sebagaimana kami sangat menyayangi zara..

"Allahummaghfirli waliwalidaiya warhamhuma kama rabbayani soghirah..
Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku, ampunilah dosa kedua ibu-bapaku. Sayangilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kecil"
Semua adik-beradik sudah berada di hospital.. Hanya dakapan menguatkan semangat kami.. Sekelip mata, kami anak yatim piatu.. Kata adik, bapak sangat gembira malam tadi. Balik awal dari kedai dan sempat bermain dengan cucu-cucu (anak abang).. Gembira bukan main nak keluar makan bersama bekas rakan-rakan sekerja di MISC. Katanya lagi, bapak nak jugak pakai bagi Camel dan minta adik carikan untuk dipakai..
Kami sempat bertemu Abang Zul, kawan baik bapak. Katanya, bapak happy macam selalu. Cuma bezanya, bapak ni memang tak makan ikan. Tapi malam tu, bapak jamah ikan stim yang menjadi hidangan yang menjadi keluarbiasaan pada rakan-rakan yang sedia maklum bapak memang tak makan ikan. Tambahnya, bapak pengsan selepas buka pintu kereta, sebelum sempat duduk. Mereka cuba untuk menghantar bapak ke klinik berdekatan tapi tiada satu pun yang buka dan mereka terus bergegas ke HBTAR. Tak pasti sama ada waktu tu bapak dah tak ada ataupun sampai di hospital.. Kami tak ingin bapak di'post mortem'.. Doktor mengesahkan bapak meninggal dunia jam 12.30 tengah malam kerana sesak nafas.

Saya dan balik balik ke rumah untuk menyiapkan segala keperluan. Kata doktor, jenazah sudah boleh dibawa pulang selepas laporan kematian di balai polis. Sampai di rumah, makcik, kakak ipar dan sepupu mula mengemas dan membentang tikar, selain tilam..

Hanya istighfar, ayat kursi, al-fatihah dan tiga qul menjadi peneman untukku menguatkan hati. Zara masih lagi segar dan belum ada tanda-tanda untuk tidur. Bagaikan faham kepiluan yang sedang menyelubungi seisi rumah peninggalan arwah bapak.. Abang menanti keluarga yang dalam perjalanan dari Sungai Petani. Kata-kata mama dan abang memberikan kekuatan untuk redha menerima qada' dan qadar ketentuanNYA.

Jam 5.00 pagi baru zara terlelap. Mata masih terpicing tak mahu sekali terlelap walau sekejap meskipun mengantuk. Sambil menantikan subuh, ku bacakan Yasin untuk arwah bapak dan mak.. untuk menenangkan hatiku yang kian rawan.. Subhanallah..

Surau di situ turut menghebahkan berita kembalinya bapak kerahmatullah.. Telefon tetap memainkan bacaan Yaasin sampai habis bateri.. Abang wan( abang sulung ) baru saja menelefon memberitahu bahawa jenazah bapak hanya boleh dibawa balik selepas menerima laporan perubatan dari Klinik Zul, tempat arwah bapak selalu mendapatkan rawatan. Nampaknya kepas pukul 9.00 pagilah..

Kami bersetuju untuk membenarkan pihak hospital menyiapkan jenazah bapak (memandi dan mengkafankan).. Abang dan keluarga mertua sampai kira-kira jam 8.30 pagi.. Abang dan Abang Wan terus bergegas ke hospital untuk membantu menguruskan apa yang perlu. Kakak dan adik masih di sana..


Orang kampung, saudara dan kenalan arwah bapak dah mula datang ke rumah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah. Masing-masing terkejut dengan berita tersebut. Arwah bapak nampak sihat dan tidak sakit. Ternampak-nampak arwah bapak yang saban pagi membersihkan daun pisang tua, menebang pokok pisang dan sebagainya..

Sahabat-sahabat KLfm ramai yang datang. Ada juga yang menghantar kiriman sms mengucapkan takziah dan memberikan semangat, juga rakan-rakan lain. Tidak ketinggalan, rakan-rakan setugas.. Puan Fee, Boss KLfm, Nazirah, Nik Aida, Hezry, Kzie, Haji Manan Selamat dan Dave..

Jenazah bapak tiba di rumah kira-kira jam 11.15 pagi dengan van jenazah. Wak Aji (abang sulung kepada bapak) memaklumkan bahawa jenazah tidak singgah lama dan akan disembahyangkan terus di surau Haji Musran. Keranda yang berisi jenazah bapak diturunkan di bawah kemah di bahagian luar. Tali kafan dibuka untuk memberikan peluang terakhir kami melihat arwah bapak. Ya Allah.. berilah kami kekuatan..

Seorang demi seorang kami adik beradik dipanggil untuk mencium dahi bapak buat kali terakhir.. Wajah tenang bapak sempat kutenung.. Kucium dahi bapak buat kali terakhir.. Sejuk dan teramat dingin.. Pergilah bapak dengan tenang, kami redha dengan ketentuan Allah.. Sesungguhnya ku bersyukur kerana diberikan nikmat ini untuk mencium dahi bapak, perkara yang sama tidak dapat kulakukan pada arwah mak kerana berada dalam keadaan yang tidak sama sekali mengizinkan 10 tahun lalu (faham-fahamlah kan..) Usai semua, jenazah terus diikat rapi untuk dibawa ke surau dan disembahyangkan..


Zara tenang dengan mama dan keluarga mertua.. Terima kasih mama.. Kami terus menanti jenazah di kubur. Kerja-kerja menggali kubur sudah siap.. Tak lama, van jenazah pun sampai.. Bagaikan cepat detik berlalu sampai ke detik-detik terakhir bapak bersama kami.. Semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Alhamdulillah.. Talkin dibacakan, bertambah sayu kurasakan.. Hakikatnya, terpisahlah kami dengan bapak melainkan tiga perkara termasuklah doa kami untuk kesejahterazaan kedua ibu bapa kami di alam barzakh..



Dalam berkira-kira untuk menyambut ulangtahun kelahiran zara yang pertama esok (12 Februari), semuanya lebur dan tidak bermakna.. Kebenaran, qada' dan qadar Allah harus diterima dengan redha..

Dalam longlai kerana tidak lagi sempat melelapkan mata, bapak tidak akan kembali lagi.. Hanya kenangan bapak dan mak kekal bersama..

  • Tiapkali bangun pagi.. "Zara dah bangun ke?" Cucunya dulu yang dicari

  • Tiapkali zara terjaga tengah malam.. "Zara menangis? Tengokkan dia kencing ke berak ke" bukan main risau lagi

  • Tiapkali sebelum tidur.. "Esok kerja pagi ke lewat? Nanti bapak kejutkan" Bapak lebih risau kalau kami terlambat masuk kerja

  • "Letak ubat nyamuk elok-elok takut terbakar" Almaklumlah rumah kampung

  • Tiapkali sebelum balik KL .."Tengok kot2 ada apa2 yang tinggal. Ic dah bawak? Dompet? " Bapak yang lebih prihatin

  • Tiapkali baru sampai rumah "Dah makan belum?" Itulah pertanyaan pertama bapak..


Hanya tinggal kenangan..

  • Ketika Bapak hantar untuk hari pertama sesi persekolahan darjah 1 di Sekolah Rendah Rantau Panjang. Bapak belikan kuih kasturi untuk makan waktu rehat

  • Tiapkali balik sekolah bapak akan tanya tadi makan apa, minum apa.. (Kenapa aku sangat sedih dan menangis untuk menyiapkan ayat ini..)

  • Bapak akan bawa kami jalan2 naik motor saban petang ketika kecil

  • Sesekali ke pasar malam, kami sangat seronok.. Bapak tak pernah tinggal beli putu bambu, jagung rebus dan apam balik

  • Bapak akan sewa kereta setiap kali raya untuk hantar kami sekeluarga balik kampung waktu kecik2 dulu..

  • Bapak pernah hilang mood dan selalu marah-marah ketika mendapat berita bahawa aku berjaya melanjutkan pelajaran ke UiTM. Sehari sebelum pergi barulah bapak beritahu kebenarannya bahawa bapak sangat sedih berpisah dengan aku yang tak pernah berjauhan dan bapak tak benarkan aku duduk asrama dan terima tawaran untuk belajar di Sekolah Menengah Agama Tinggi Hishamuddin Klang, satu ketika dulu walaupun hanya beberapa orang sahaja di sekolahku yang mendapat tawaran itu..

  • Bapak sangat bangga aku menjadi Komander Kesatria Negara, UiTM. Pesan bapak, simpanlah baju no. 3 dan no. 4 ni sebagai kenangan walaupun dah tak guna..

  • Kata embah (nenek), Bapak menangis ketika melihat aku menerima segulung ijazah di UiTM. Satu-satunya anak setakat ini yang melanjutkan pelajaran ke universiti.. Alhamdulillah..
  • Bapak sangat gembira menerima Abang sebagai menantu yang selalu diajaknya bersembang..
Tak mampu lagi kuhabiskan entry ini. Cukuplah tangisanku yang terlalu rindukan arwah bapak dalam megakhiri catatan ini. Allah lebih menyayangi kedua orang tuaku. Yang tinggal hanya kami adik-beradik.
"Semoga Allah terus menyatukan hati kami adik-beradik dalam mengharungi perjalanan hidup sebagai yatim piatu.. Moga doa kami untuk arwah mak dan bapak diterima Allah.. Moga dipermudahkan segala urusan, dijauhkan dari seksa kubur, moga diterangi dengan nurMU, moga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan dikasihi.. Amin.. Al-Fatihah.."

4 comments:

Anonymous said...

Al Fatihah untuk ayahanda Puan Juliyana. Semoga Beliau tergolng ke dalam golongan orang orang yang beriman.

Al Fatihah.

kakzie said...

semoga rohnya di tempatkan di kalangan org yang beriman..Tabahkan hati dan teruskan kehidupan Ju...Menitis air mata membaca N3 ni...arwah bapak ila juga pergi mengejut..
Al-fatihah

black_canary said...

sayu bila baca coretan ni...dapat gambarkan perasaan ketika itu...

semoga arwah ditempatkan dikalangan org yg terpilih

MrsWebmaster said...

Alid : Terima kasih..
Ila : Kita sama-sama pernah merasa pengalaman yang sama, pasti kita saling memahami..
BC : :( Sedih sangat nak emnyiapkan entry kali ni.. Moga rohnya tenang di sana.. amin

THROWBACK GAMBAR-GAMBAR MASA MENGANDUNGKAN MIA

  Harini nak share gambar-gambar masa mengandungkan Mia. Ya, besarnya perut tu macam ada bantal. Mengandungkan Mia mudah saja, sama ma...